Perkembangan kerohanian sufi dalam mencapai kesempurnaan melalui empat peringkat. Peringkat pertama dinamakan perjalanan menuju Allah s.w.t. Sufi bergerak daripada pengetahuan yang rendah kepada pengetahuan yang lebih tinggi sampai kepada pengetahuan mengenai Wajibul Wujud. Dalam proses ini pengetahuan mengenai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) berkurangan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terhapus terus. Keadaan ini dinamakan fana. Fana membawa sufi memasuki peringkat ke dua, dinamakan perjalanan dalam Allah s.w.t. Ia merupakan proses perjalanan yang diistilahkan sebagai makrifat atau mengenal Allah s.w.t dalam suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau hakikat-hakikat seperti nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan hal-hal ketuhanan. Seterusnya sufi sampai kepada suasana yang tiada perkataan dan bahasa boleh bercerita, tiada sifat boleh mengibaratkan, tiada perhubungan boleh dihubungkan dan tiada sesuatu penjelasan. Pengetahuan tidak ada dan makrifat juga tidak ada dalam suasana yang demikian. Tidak ada pengetahuan dan tidak ada pengenalan yang mampu bercerita tentang zat Allah s.w.t. Pengalaman pada suasana kerohanian yang demikian dinamakan baqa atau hidup bersama-sama Tuhan. Ini adalah penghabisan peringkat ke dua. Perjalanan peringkat pertama dan ke dua melengkapkan kewalian cara sufi. Orang yang telah menempuh dua peringkat ini dipanggil sebagai wali sufi atau wali kecil, atau wali abdal.

Sufi seterusnya bergerak kepada peringkat ke tiga yang dinamakan perjalanan dari Tuhan. Dalam peringkat ini perjalanan bermula dari pengetahuan yang tinggi kepada yang lebih rendah yaitu dari Wajibul Wujud kepada mumkinul wujud. Sufi yang sampai kepada peringkat ini dinamakan orang arif yang lupakan Tuhan melalui Tuhan, yang kembali dari Tuhan dengan Tuhan, yang kehilangan tetapi menjumpai, yang terpisah tetapi bersatu, yang jauh tetapi dekat, yang tidak boleh dikatakan tetapi tahu, yang tau rahasia tapi tak boleh bicara, yang tidak boleh disifatkan tetapi kenal. Peringkat ke tiga ini merupakan kebalikan kepada peringkat kedua. Ketika berada pada peringkat kedua sufi mengalami suasana yang diistilahkan sebagai fana dalam Tuhan. Pada peringkat ke tiga pula sufi meninggalkan makam ketuhanan dalam keadaan tidak berpisah dengan Tuhan. Pengaruh mabuk dan wahdatul wujud sudah berkurang. Kesadaran kemanusiaan sudah mula kembali sedikit demi sedikit. Bila kesadaran kemanusiaannya telah bertambah kuat sufi melengkapkan perjalanan pada peringkat ke empat yaitu perjalanan dalam alam kebendaan. Pada peringkat ini sufi kembali mengenali sesuatu yang dilupakannya pada peringkat pertama dahulu. Peringkat pertama membuat sufi lupa tetapi peringkat ke empat membuat sufi kembali mengingati. Alam kebendaan menjadi terang benderang kepadanya dan akhirnya dia kembali sepenuhnya kepada kesadaran dirinya dan alam maujud. Dia kembali kepada tempat dia bermula. Perjalanannya menjadi lengkap.

Perjalanan peringkat ke tiga adalah perubahan dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. Peringkat ke empat adalah penyempurnaan cara kenabian untuk memikul tugas yang mulia yaitu membimbing umat manusia kepada Tuhan, meneruskan perjuangan Nabi-nabi.

Ada pula orang yang memasuki jalan kesufian kerena dipaksa bukan dengan disengajakan. Golongan ini boleh diibaratkan sebagai orang-orang yang mempunyai tugas tetapi mereka sibuk dengan kehidupan harian sehingga tercampak jauh daripada tujuan mereka diciptakan. Dengan rahmat dan belas kasih Tuhan mereka disentak dari kelalaian tersebut dan diherat menghadap Tuhan. Mereka dipisahkan daripada apa saja yang menghalang mereka daripada kembali kepada Tuhan. Dalam golongan inilah terdapat raja yang diturunkan dari takhtanya, orang kaya yang jatuh miskin, orang cantik yang menjadi bodoh dan yang seumpama mereka. Perubahan yang mendadak menimpa mereka memisahkan mereka daripada beban berat yang menghalang mereka berjalan kepada Tuhan dan pada masa yang sama juga mereka terpisah daripada orang ramai. Mereka tidak ada pilihan kecuali mengasingkan diri. Dalam pengasingan itu mereka memperbanyakkan ibadah kepada Tuhan, membentuk penyerahan yang sejati, merelakan apa jua takdir yang sampai kepada mereka. Kesan daripada ujian yang menimpa mereka secara mengejut itu dihapuskan semasa pengasingan atau bersuluk. Dalam keasyikan beribadat itu terbuka kepada mereka peringkat-peringkat perjalanan seperti yang dilalui oleh sufi kumpulan pertama. Kumpulan pertama berjalan kepada Tuhan berbekalkan pengharapan. Kumpulan ke dua ini pula tidak membawa sebarang bekal kerana segala sesuatu telah diserahkan kepada Tuhan. Mereka telah rela dengan apa juga takdir yang sampai kepada mereka.

Kumpulan pertama bekerja keras menghapuskan segala kehendak diri sendiri agar kehendak Tuhan menjadi kehendaknya juga. Pada kumpulan ke dua pula segala kehendak diri sendiri telah dihapuskan ketika ujian bala bencana menghempas mereka. Penghapusan kehendak diri berlaku dengan cepat diikuti oleh sifat penyerahan bulat kepada Tuhan, menghapuskan sifat-sifat keji dari hati mereka. Seterusnya kesadaran diri ikut lenyap bersama-sama dengan pengaruh akal fikiran dan perasaan. Mereka masuk kepada suasana yang dipanggil majzub. Orang majzub mengalami berbagai-bagai hal ketuhanan yang menghasilkan makrifat. Kumpulan yang berjalan melalui tarekat ujian bala ini berjalan lebih pantas daripada kumpulan pertama yang melakukan latihan bersuluk secara kesadaran dan kehendak sendiri, tetapi perkembangan kerohanian pada kumpulan pertama lebih teratur daripada kumpulan ke dua. Bimbingan dari guru yang arif dan bekalan ilmu yang mencukupi membantu kumpulan pertama meningkat dalam bidang kerohanian secara bersistematik dan mereka memperolehi penerangan mengenai apa yang mereka alami. Kumpulan ke dua pula biasanya menjadi majzub tanpa berguru dan mengalami hakikat tanpa mendapat penjelasan mengenainya. Kumpulan majzub ini akan berjalan terus melalui berbagai-bagai pengalaman tanpa mendapat pengetahuan yang jelas mengenai apa yang mereka alami.

Setelah mereka melepasi peringkat majzub dan kembali kepada kesadaran keinsanan barulah mereka mempelajari hakikat yang telah mereka alami. Kumpulan yang bergerak secara perguruan selamat daripada fitnah masyarakat. Kumpulan yang tiba-tiba menjadi majzub tanpa berguru sering menimbulkan fitnah kepada orang umum karena latar belakang mereka yang tidak kuat dan tidak alim dalam bidang agama, sedangkan mereka mula bercakap tentang ketuhanan, membuat orang umum curiga kepada mereka. Lebih buruk lagi jika di dalam keadaan hilang kesedaran itu mereka tidak mematuhi peraturan syariat dan adab kemanusiaan. Walau bagaimana pun setelah mereka kembali kepada kesadaran dan memperolehi pengetahuan tentang pengalaman kerohanian mereka, mereka akan bergerak sesuai dengan peraturan syariat dan dapat mengelakkan diri daripada menimbulkan kekeliruan kepada orang banyak.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar